Monday, February 9, 2015

Muqadimah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Seringkali kita mendengar tentang pelbagai masalah yang melanda rakyat jelata di bumi bertuah lagi diberkati ini. Walau di mana sahaja anda berada, hatta di dalam tandas awam sekalipun, kita tidak mungkin akan terlepas dari belenggu masalah.

Perkataan masalah boleh aku definisikan sebagai sesuatu yang tidak menepati kehendak emosi dan akal seseorang lantas masalah itu timbul. Faham?

Sebagai contoh, aku mahu buang air besar di tandas awam. Itu adalah satu bentuk kehendak. Tetapi apa akan terjadi jika tiada tandas awam berhampiran? Bagaimana sekiranya tandas awam yang ada berbau mayat dan sejijik Sungai Klang? Justeru, masalah akan timbul.

Aku ada terbaca dalam ruangan motivasi daripada pakar yang mengatakan, masalah tidak akan selesai jika kita fokus pada masalah. Sebaliknya, fokuslah pada penyelesaian dan cara penyelesaianya.

Inilah tujuan utama aku menulis dalam blog ini. Cerita bagaimana masalah bisa selesai. Aku mahu coretkan catatan seorang pejuang seperti aku, yang berjuang untuk mendapat hidup yang lebih baik dan memuaskan diri sendiri serta kehendak walau ada belenggu masalah.

Aku gunakan ruang yang ada di sini untuk bercerita. Cerita bagaimana seorang budak gemuk yang gagal belajar di pengajian tinggi bangkit untuk kurus dan habiskan pengajian. Kisah klasik penuh tauladan bagaimana seorang agen takaful gagal sebagai seorang agen yang mengejar kekayaan duniawi dan cuba untuk bangkit semula. Melankolik hidup seorang manusia yang ditipu kekayaan dunia dan digigit anjing. Coretan bagaimana persepsi melihat perniagaan boleh berubah. Yang pasti, tulisan tulisan dalam blog ini adalah pengalaman jujur yang telah terjadi dan akan terjadi. Pahit manis menelan menyedut ego jauh ke dalam diri, sambil menebalkan muka setebal muka depan Harry Potter.

Aku tulis dalam bahasa ibunda aku yang jarang sekali aku guna dalam penulisan kreatif, apatah lagi formal supaya aku dapat apa yang aku dapat. Supaya aku tidak lupa yang aku harus jujur terus dari hati tanpa sebarang terjemahan dan tapisan daripada akal dan hati.

Sesungguhnya masalah tidak akan selesai dengan menulis. Tetapi tulisan ini akan menjadi rujukan sejarah supaya sejarah tidak akan berulang.

Aku tidak mengharapkan orang mengerti, apatah lagi suka dengan tulisan aku. Aku hanya mahu puas mencapai inzal dalam kepala bila habis menulis. Sekiranya ada yang membaca, kau boleh belajar. Hatta kiranya kau tidur sekalipun, aku puas kerana aku berjaya meninggalkan impak pada kau. Kiranya kau benci sekalipun aku gembira kerana kau sudi membaca.